Bagi mereka yang masih kurang lancar atau bacaan seringkali tersangkut-sangkut, jangan bimbang teruskan membaca Al-Quran kerana Nabi SAW memberikan motivasi dengan menyatakan, golongan itu akan mendapat dua kali pahala berbanding orang yang lancar.
Aisyah menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca al-Quran dengan sungguh-sungguh dan mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (Sahih Bukhari dan Muslim)
Ulama menyatakan, dua pahala yang diperoleh itu, satu untuk bacaannya manakala satu pahala lagi kesusahannya ketika membaca.
Jiwa orang yang sering berdamping dengan al-Quran juga akan sentiasa tenang dan lapang.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah arRa'd, ayat 28)
Selain itu, rumah yang di dalamnya dibaca al-Quran akan diberkati selain malaikat turut memenuhi rumah berkenaan.
Begitu juga seorang Muslim yang baring di tempat tidurnya dengan membaca salah satu surah al-Quran, Allah SWT akan tugaskan satu malaikat menjaganya dan tidak ada satu bahaya pun akan mendekatinya sehingga dia terjaga.